Pak Lah sahkan…hanya Isa seorang
June 29, 2005 : 04.13 AM--->
Kalau ada dikalangan mereka yang berjawatan ahli Majlis Tertinggi UMNO keatas yang masih berdebar kerana kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO,Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Isnin yang agak kabur…kini boleh menarik nafas lega.
Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Selasa mengesahkan tidak ada lagi pemimpin kanan UMNO yang bakal dipanggil mengadap lembaga itu.
"Siasatan yang dijalankan melibatkan semua... tapi nampaknya yang melibatkan ahli Majlis Tertinggi pada waktu ini, dengan maklumat yang ada pada saya, ialah hanya seorang sahaja, Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad," katanya. Sebelum itu ketika menjawab soalan wartawan mengenai hal itu semasa sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke pejabat baru Kementerian Kesihatan di Putrajaya beliau sebaliknya bertanya , "ada lagi ke?".
Pada jam 10 pagi sebelum itu Isa telah mengadakan pertemuan dengan Abdullah.
Perdana Menteri berkata perjumpaannya dengan Isa itu sebagai "tak ada apa-apa" dan dan soal status jawatan Isa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan tidak dibincangkan.
Katanya beliau menasihatkan Isa yang digantung keanggotaannya daripada Umno selama enam tahun kerana didapati bersalah mengamalkan politik wang supaya membuat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan parti dengan secepat mungkin.
---------------------------
Politik wang:Rithauddeen bayangkan tiada lagi pemimpin kanan UMNO akan dipanggil mengadap…
Kebanyakan wartawan yang bersesak dalam bilik sidang akhbar Pengerusi Lembaga Disiplin Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail di tingkat 38 ibupejabat UMNO di PWTC petang hari Isnin keluar dengan wajah yang keliru dan tidak puashati.
Ini kerana beliau jenuh ‘bersilat’ ketika menjawab soalan bertubi dari para wartawan untuk mengelak diri dari membuat satu kenyataan rasmi yang pasti samaada ada lagi atau tidak pemimpin kanan UMNO akan dipanggil mengadap lembaga itu kerana politik wang.
Itulah jawapan utama yang dicari oleh hampir 50 orang wartawan dalam dan luar negara yang hadir pada sidang akhbar berkenaan yang diadakan dengan tujuan untuk mengumumkan keputusan rasmi mengenai kes Naib Presiden UMNO Tan Sri Isa Samad yang digantung enam tahun dan beberapa orang lain.
Inilah pertama kali satu sidang akhbar Lembaga Disiplin UMNO dihadiri oleh wartawan seramai itu.
Beliau sebaliknya membayangkan yang mengikut tafsiran majoriti wartawan bermakna tidak ada lagi pemimpin kanan UMNO baik Naib Presiden atau ahli Majlis Tertinggi UMNO akan dipanggil.
Tengku Rithauddeen berkata setakat 18 April lepas,iaitu tarikh akhir lembaga itu menetapkan ia akan menerima aduan bagi salaku semasa pemilihan tahun 2004 ia tidak menerima sebarang aduan yang membabitkan anggota lain dalam Majlis Tertinggi Umno. "Saya telah membuat kenyataan pada 8 April dan telah menyatakan bahawa sesiapa yang hendak membuat laporan bersabit kesalahan yang berlaku di bawah politik wang, hendaklah berbuat demikian sehingga 18 April. "Ini bermakna saya atau Lembaga Disiplin, atau sekretariat tidak menerima aduan ke atas anggota Majlis Tertinggi (yang lain), yang bertanding dan menang," katanya.
Diasak lagi oleh para wartawan kenapa beliau tidak mahu memberi kenyataan pasti tidak ada lagi akan dipanggil bagi mengelak spekulasi berleluasa,, Rithauddeen dengan nada tegas berkata: "Saya kata saya tak mahu jawab. Sudah saya katakan tadi bahawa saya telah pun memberikan notis kepada mereka untuk membuat aduan sebelum 18 April." Beliau berkata tempoh mengemukakan aduan sudah berakhir dan Lembaga Disiplin tidak menerima lagi sebarang aduan mengenai salahlaku semasa pemilihan parti itu tahun lepas. Katanya jika benar kesalahan itu dilakukan, pengadu sepatutnya datang dan membuat aduan dengan segera tanpa perlu menunggu begitu lama. "Kami dah bagi syarat sehingga 18 April, tak kan nak buka pula. Kalau orang dah mati tak kan nak gali balik. Semua tu susah," katanya semasa diminta mengulas sama ada Lembaga Disiplin akan menerima lagi aduan sekiranya ada yang tampil membawa bukti bahawa masih ada pemimpin kanan parti terlibat dalam pelanggaran etika semasa pemilihan parti tahun lepas. Ditanya bagaimana sekiranya ada yang tidak puashati melihat hanya Isa sahaja seorang yang kena,Pengerusi Lembaga Disiplin itu menyalahkan ahli-ahli UMNO sendiri yang tidak mahu mengemukakan aduan.
Katanya lembaga itu hanya menyiasat jika aduan dibuat lengkap dengan bukti-bukti sahih.
------------------------------------
Sidang akhbar Lembaga Disiplin Umno petang Isnin tidak semestinya anti-klimaks…
Walaupun keputusan Tan Sri Isa Samad kena gantung 6 tahun boleh dikira klimaks episod isu politik wang dalam pemilihan UMNO yang sekian lama menjadi polimek tetapi sidang akhbar Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO,Tengku Ahmad Rithaudeen jam 3 petang Isnin ini pastinya satu media event yang ditunggu-tunggu.
Fokusnya tentunya apakah ia mampu memberi jawapan kepada pelbagai tandatanya mengenai ‘perbicaraan kilat’ kes Naib Presiden UMNO itu.
Bukan sahaja para wartawan tetapi ramai kalangan ahli UMNO yang ingin mendengar pelbagai penerangan mengenai kes yang melibatkan orang ketiga tertinggi dalam hiraki pimpinan UNMO itu.
Apa lagi bila Setiausaha Politik Naib Presiden UMNO itu ,Salim Sharif sendiri menyuarakan terkejut dan semacam mempertikaikan bagaimana Isa baru beri keterangan pagi Khamis petang Jumaat keputusan sudah dibuat.
``Ini bukan bicara ketua cawangan tetapi orang nombor tiga dalam parti, takkan dalam masa dua hari sudah selesai. Ini pun jelas timbul tanda tanya seolah-olah sudah ada keputusan baru panggil untuk lengkapkan syarat,'' tegas Salim seperti dipetik oleh Utusan Malaysia.
Baginya ia satu keputusan yang jelas boleh mengundang kepada andaian yang wujud konspirasi politik terhadap Isa.
Sambil menyifatkan pertuduhan terhadap Isa sangat longgar dan bersandarkan kepada bukti di pihak Lembaga Disiplin UMNO semata-mata,beliau menegaskan Menteri Wilayah Persekutuan itu tetap menggangap dirinya tidak bersalah dan bukti-bukti yang ada adalah cukup kuat untuk memihak kepadanya.
Berbeza dengan kes-kes ‘ikan bilis’ sebelum ini keputusan kes Isa telah bocor sebelum lembaga itu secara rasmi dapat mengumumkannya.
Hal ini memang tidak dapat dielakan kerana semua wartawan berlumba memburu kesudahan kes high profile ini hingga mendorong Mohd Salim sendiri mengesahkan keputusannya dihantar oleh Lembaga Disiplin UMNO ke pejabat Isa di Putrajaya jam 3 petang Jumaat.
Keputusan itu dicapai setelah lembaga berkenaan mengadakan mesyuarat kira-kira dua jam di ibupejabat UMNO di PWTC pada sebelah pagi itu.
Melihat pada satu per satu dari sembilan pertuduhan terhadap Isa ia memang boleh dikategorikan sebagai ‘kes berat’. Beliau antara lain di dakwa membenarkan ajennya membayar RM1,000 seorang kepada perwakilan UMNO ke Perhimpunan Agung di Hotel Crown Princes Kuala Lumpur pada jam 11 malam 22 September dan pagi 23 September.
Kejadian sama didakwa berlaku pada jam 1 pagi 23 September di Hotel Pan Pacific dan Hotel Legend Kuala Lumpur.
Isa juga didakwa membenarkan ajennya beri wang kepada perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highland,Kuala Lipis dan Bentong pada 11 September.
Selain itu membenarkan ajennya beri RM 300 kepada perwakilan UMNO dari Kedah di Hotel Holiday Villa ,Alor Setar dan Kelab Cinta Sayang ,Sungai Petani antara dua dan tga minggu sebelum pemilihan.
Wang sama banyak juga didakwa diberi kepada perwakilan UMNO Sabah di Tanjong Aru Golf Club dan Kandarah Court pada awal bulan September.
Apapun pasti ramai yang ingin tahu sejak bila Lembaga Disiplin berjaya mendapatkan saksi-saksi bagi semua pertuduhan itu memandangkan pemillihan sudah berlalu 9 bulan.
Juga apakah pandangannya terhadap andaian sesetengah pihak yang mendakwa Isa menjadi kambing hitam untuk membersihkan imej lembaga itu.
Juga mahukan hak lembaga menampilkan saksi-saksi ini di depan Isa yang mendakwa ia satu fitnah jika beliau sendiri tidak tahu siapa mereka.
Lebih menarik tentunya apakah ada lagi tokoh besar parti yang bakal mengadap.
----------------------------------
Ali Rustam terpaksa berdepan dengan bahang spekulasi…
Soal Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohamed Ali Rustam tidak hadir merasmikan tiga majlis yang diatur di negeri ini tetapi sebaliknya mewakilkan tugas itu kepada anggota Exco kerajaan negeri nampaknya mencetuskan macam-macam andaian dalam suasana yang penuh spekulasi sekarang. Naib Presiden UMNO itu menjelaskan ini bukan kerana apa-apa sebaliknya beliau perlu menghadiri beberapa mesyuarat penting lain."Hari Sabtu, saya mesyuarat dengan Syarikat Pembuatan Melaka, selepas itu dengan syarikat Melaka ICT Holding kerana syarikat ini sedang bergerak cergas untuk memajukan ICT dan juga sektor pembuatan di Melaka," katanya ketika yang ditemui pemberita selepas merasmikan Hutan Rekreasi Sungai Udang Ahad. "Kan saya kata tak ada," katanya ketika ditanya sama ada beliau telah menerima surat seumpama itu daripada Lembaga Disiplin UMNO.Khamis lalu ketika Tan Sri Isa samad dipanggil memberi keterangan di ibupejabat UMNO nama beliau dan Menteri Besar Selangor turut menjadi bahan desas desus sedangkan mereka berdua ada menerima apa-apa surat dari lembaga itu. Ditanya mengenai penggantungan keanggotaan Isa ,beliau berkata : "Saya pun tak ada apa nak komen tapi sebagai ahli parti kita perlu akur pada keputusan lembaga disiplin yang telah ditubuhkan oleh MT . Kita harap bersabar dalam apa jua keadaan yang kita hadapi." Beliau juga setuju dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menolak sebarang unsur konspirasi menjatuhkan pemimpin tertentu dalam tindakan lembaga disiplin terhadap anggota UMNO yang melanggar tataetika pemilihan parti. Sementara itu Ahad Isa menafikan laporan agensi berita Reuters bahawa beliau ada membuat kenyataan yang menyifatkan dirinya dijadikan korban dalam usaha Perdana Menteri untuk membersihkan parti dan kerajaan daripada segala bentuk penyelewengan.
----------------------------------
Ramai lagi pemimpin UMNO akan dipanggil mengadap Lembaga Disiplin ?...apa kata Pak Lah
Nampaknya hanya Lembaga Disiplin UMNO sahaja yang tahu samaada lebih ramai lagi pemimpin tertinggi parti itu akan dipanggil mengadap atau tidak. Diminta mengulas mengenai desas-desus kemungkinan itu Perdana Menteri berkata beliau tidak mendengar sebarang cerita berhubung perkara itu."Bila Tengku (Ahmad Rithauddeen) buat pengumuman kita akan tahu. Apa yang kita dimaklumkan ialah proses tindakan disiplin itu akan diselesaikan sebelum perhimpunan agung parti Julai ini," katanya kepada para wartawan selepas merasmikan majlis penyerahan kunci projek perumahan terbengkalai Taman Sri Bayu di Bayan Lepas di Pulau Pinang Sabtu. Ditanya sama ada keputusan lembaga disiplin terhadap kesalahan Isa berhubung politik wang itu akan dirujukkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR),Abdullah berkata keputusan untuk merujuk kepada BPR itu bergantung kepada maklumat yang diperolehi oleh Lembaga Disiplin dalam siasatan mereka. "Ia akan dirujuk sekiranya mereka fikir ia perlu dimaklumkan atau ia berkaitan hal-hal jenayah," katanya.Beliau yakin tindakan Lembaga Disiplin UMNO menggantung keanggotaan atau sebarang tindakan lain yang diambilnya terhadap mana-mana pemimpin tertinggi UMNO kerana melanggar tataetika parti tidak akan menjejaskan imej dan kredibiliti UMNO. Presiden UMNO itu berkata sebaliknya tindakan itu menunjukkan UMNO serius menangani perkara-perkara yang tidak memberi kebaikan kepada parti, termasuk golongan yang melanggar tataetika parti. Abdullah berkata beliau yakin terhadap kredibiliti Lembaga Disiplin UMNO dalam menjalankan tugas dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan disiplin parti.
------------------
Najib komen kedudukan Isa
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pagi Sabtu menjelaskan Tan Sri Isa Samad perlu mengosongkan buat sementara waktu jawatan Naib Presiden UMNO sehingga Lembaga Disiplin UMNO membuat keputusan keatas rayuannya."Jika rayuan berjaya boleh ambil balik... jika tak, terpaksa lepaskan jawatan untuk tempoh hukuman yang ditetapkan oleh Lembaga Displin," katanya setelah melepaskan peserta Mencari Harta Karun di Wangsa Maju. Menurut Najib bagi jawatan Menteri Wilayah Persekutuan pula UMNO juga telah menetapkan dasar bahawa jika seseorang yang dikenakan tindakan itu mempunyai jawatan kerajaan, jawatan itu masih boleh dipegang sehingga rayuan diputuskan oleh Lembaga Disiplin parti. Bagaimana pun tambah beliau Perdana Menteri berhak membuat keputusan mengenai jawatan menteri itu pada bila-bila masa.Mengenai kekosongan yang berlaku dalam salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden UMNO berikutan penggantungan Isa selama enam tahun,beliau berkata ia tidak akan diisi sehingga pemilihan akan datang. Sementara itu Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan akhbar Sabtu mendesak Perdana Menteri segera memecat Isa atau mengantung jawatannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan serta menyerahkan kes itu kepada Badan Pencegah Rasuah dan Peguam Negara untuk pendakwaan.
---------------------------------
Sah:Isa digantung 6 tahun…tandatanya timbul mengenai jawatan Menteri Wilayah Persekutuan
Khabar angin mengatakan Naib Presiden UMNO Tan Sri Isa Samad kena gantung dua penggal iaitu enam tahun oleh Lembaga Disiplin UMNO sudah berlegar sejak lewat petang Jumaat.
Berita tidak rasmi itu sudah hangat tersebar menerusi SMS dan panggilan telefon dikalangan orang politik selepas Pengerusi Lembaga Disiplin ,Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen mempengerusi satu mesyuarat di ibupejabat UMNO pada sebelah pagi.
Beberapa orang kanan Isa yang dihubungi Agendadaily pada sebelah awal malam mengesahkan ‘sudah dengar pasal keputusan itu’.
Cakap-cakap mengenainya menjadi semakin hangat kemudiannya bila Buletin Utama TV3 memetik sumber-sumber mengatakan Isa dikenakan tindakan itu.
Berita Nightline TV3 pada tengah malam kemudiannya memetik Setiausaha Politik Isa di Kementerian Wilayah Persekutuan iaitu Mohd Salim Shariff mengesahkan surat keputusan itu dihantar oleh Lembaga Disiplin pada sebelah petang.
Berikutan keputusan ini Isa yang dapat nombor satu dalam pemilihan Naib Presiden September lalu tidak boleh memegang atau bertanding apa-apa jawatan selama enam tahun.
Rithauddeen dijangka akan memberi sidang akhbar Isnin ini mengenai keputusan berkenaan.
Isa boleh mengemukakan rayuan.
Bagaimanapun kalangan pemerhati politik menilai harapan mengubah keputuan menerusi rayuan agak tipis melihat kepada hukuman gantung enam tahun yang dikenakan. Kebanyakan mereka yang bersalah sebelum ini dikenakan gantung satu penggal atau tiga tahun sahaja.Ini menandakan Lembaga Disiplin mendapati kes terhadap Isa 'amat jelas dan berat '.
Apa yang menjadi tandatanya sekarang ialah apakah beliau akan segera melepaskan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan atau tidak.
Sebelum ini Exco Kerajaan Negeri Melaka Datuk Amid Nordin meletak jawatan selepas rayuannya ditolak. Dalam pertandingan jawatan Naib Presiden Isa memperolehi 1,507,kedua Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam 1,329 undi dan ketiga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan 1,234 undi.
-----------
Isa beri keterangan selama sejam setengah kepada Lembaga Disiplin UMNO
Naib Presiden UMNO Tan Sri Isa Samad telah memberi keterangan selama sejam setengah atas dakwaan melanggar etika pemilihan kepada Lembaga Disiplin UMNO pagi Khamis.Beliau tiba di PWTC jam 8.50 pagi dan masuk ke ‘bilik perbicaraan’ jam 9 pagi. Difahamkan Isa menghadapi sembilan pertuduhan termasuk politik wang.Isa yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turun ke lobi selepas memberi keterangan pada jam 10.40 pagi. Para wartawan dan kira-kira 50 orang penyokongnya telah meluru sebaik melihat beliau muncul.
Apabila dikerumuni wartawan yang meminta beliau mengulas mengenai keterangannya, Isa sekadar berkata : "subjudis".saya tak boleh cakap apa-apa. Saya tak boleh komen pasal ini." Ditanya mengenai "kehilangannya daripada majlis-majlis umum" beberapa hari lepas, beliau berkata: "Saya rakyat Malaysia, tidak hilang mana-mana."
Beliau kemudiannya terus meluru masuk ke kereta rasminya meninggalkan PWTC. Ini adalah kali pertama seorang pemimpin kanan UMNO berjawatan Naib Presiden dihadapkan ke Lembaga Disiplin UMNO. Sebelum ini desas desus mengenai kemungkinan seorang pemimpin kanan UMNO akan dipanggil memberi keterangan telah menarik perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai spekulasi.
Isa menang jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti September tahun lepas dengan meraih undi terbanyak.Kedua ialah Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan ketiga Tan Sri Muhyiddin Yassin Beliau pernah gagal dalam dua percubaannya merebut jawatan itu sebelum ini. Isa pernah menyandang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun bermula 1982 sebelum bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Jempol pada pilihan raya umum 2004.
No comments:
Post a Comment