PAS simpati nasib Sothinathan yang digantung kerana perjuangkan nasib kaum India
Friday, June 24 @ 11:41:06 MYT Oleh MAZLAN JUSOH PENGKALAN CHEPA, 24 Jun (Hrkh) – PAS melahirkan rasa simpatinya terhadap usaha MIC untuk memperjuangkan masyarakat India di negara ini tetapi telah ditolak sedemikian rupa oleh BN sendiri. “Kasihan kepada Setiausaha Agung MIC digantung jawatannya sebagai timbalan menteri kerana semata-mata mahu membela nasib pelajar-pelajar keturunan India yang menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Ukraine.
“Memang menjadi kewajaran tindakan dilakukan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli itu untuk mengambil berat nasib orang India,” kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam ceramah di Putik malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan, ketua penerangan, Ustaz Nasharuddin Daud dan wakil-wakil rakyat.
Ceramah itu merupakan program pertama diadakan di Putik selepas muktamar PAS Kali ke-51 yang diadakan awal bulan ini. Tengahari ini pula petugas-petugas muktamar tersebut akan diraikan pada majlis makan tengahari.
Semalam akhbar melaporkan Perdana Menteri membuat keputusan mengejut menggantungkan jawatan timbalan menteri terbabit selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta.
Kata Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tindakan itu diambil ekoran kelantangan Sothinathan mengkritik kerajaan berhubung isu penarikan balik pengiktirafan ijazah perubatan di sebuah universiti di Ukraine oleh Majlis Perubatan Malaysia.
Sebelum ini, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli melihat isu ini hanya sebagai sandiwara BN sahaja kerana Presiden MIC, Dato' Seri S Samy Vellu yang memulakan isu ini.
"Kalau benar hendak bertindak kenapa tidak kepada Samy Vellu," kata Dr Hatta semalam.
Nasharudin dalam ceramahnya berkata, platform BA lebih sesuai dijadikan landasan bagi memperjuangkan nasib kaum India di negara ini.
Politik rasuah
Mengenai tindakan Lembaga Disiplin Umno memanggil Naib Presiden parti itu, Tan Sri Isa Samad untuk disoal siasat semalam, beliau berharap ia tidak berakhir di situ sahaja.
“Umno perlu memperlihatkan kesungguhan untuk bertindak dan bukan sekadar cakap kosong sahaja bagi membendung gejala rasuah politik dalam parti tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut perkembangan itu, Takiyuddin mendedahkan ada pemimpin Umno dari Kuala Lumpur meminta tolong penyokongnya di Kelantan supaya bersembahyang hajat kerana ketua mereka disiasat berkaitan politik wang.
“Tapi orang Umno di sini pula minta tolong orang PAS pula supaya mengadakan solat hajat. Mereka memberitahu sanggup membayar berapa sekali pun yang diminta.
“Ini menggambarkan bagi menangani isu politik wang sekalipun, wang juga digunakan bagi membebaskan ketua mereka daripada tuduhan,” katanya.
Ketua Penerangan PAS Kelantan pula berhujah penggunaan politik wang dalam Umno bukan perkara pelik kerana mereka sudah lama mengamalnya ketika berdepan pembangkang setiap kali pilihan raya berlangsung.
by: http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=14254&mode=thread&order=0
No comments:
Post a Comment